KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud semalam tidak menolak  kemungkinan kerajaan negeri akan mengambil alih pemilikan ke atas  Empangan Hidroelektrik Bakun, yang kini hampir siap.
Ini mungkin bermakna kerajaan negeri akan mengambil langkah seterusnya  untuk membeli empangan itu, bukan sekadar menyewanya seperti yang  diumumkan tahun lepas.
“Kami (kerajaan) sedang mengkaji sama ada kami dapat membeli Bakun atau tidak.
“Kami sedang berunding dengan kerajaan persekutuan sama ada ingin  menjual semula (Bakun),” katanya kepada pemberita di Wisma Bapa Malaysia  di sini, semalam.
Taib terdahulu mempengerusi- kan mesyuarat bulanan kabinet yang  diikuti dengan taklimat mengenai Bakun oleh Sarawak Energy Berhad.
Sumber berita dalam internet melaporkan kerajaan negeri ingin membeli  empangan itu pada harga RM6 bilion tetapi kerajaan persekutuan telah  memberi tawaran harga RM8 bilion.
Empangan Bakun yang menjalani pembinaan selama 16 tahun dijangka siap pada Disember ini.
Dimiliki kerajaan persekutuan menerusi Sarawak Hidro di bawah  Kementerian Kewangan, hidro itu mampu menjana tenaga sebanyak 2,400  megawatt.
Laporan media pada 12 Disember tahun lepas menyatakan kerajaan negeri  sedang merangka perjanjian untuk menyewa empangan Bakun daripada  kerajaan persekutuan.
Turut dilaporkan bahawa semua kuasa daripada empangan itu akan  disalurkan di Sarawak bagi memenuhi keperluan industri khususnya bagi  kawasan Koridor
Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), berikutan perjanjian yang diberikan oleh kerajaan persekutuan.
Dalam perkembangan lain, Taib semalam tidak mahu mengulas mengenai  rundingan tarif yang sedang dijalankan bagi bekalan elektrik yang dijana  oleh Bakun.
“Saya tidak ada komen setakat ini… kami tidak menghuraikan rundingan dalam akhbar, semua anda tahu perkara ini,” katanya.
Pengarah Urusan Sarawak Hidro Zulkifle Othman yang dipetik dalam  Malaysiakini berkata, syarikat tersebut mensasarkan hujung tahun ini  untuk memeterai perjanjian pembelian tenaga dengan Sarawak Energy.
Beliau turut dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri perlu membuat  pengubahsuaian kepada sistem pengangkutan sungai sekarang sebelum  empangan dibanjiri (impoundment) kerana ia boleh menjejaskan aliran  sungai dan paras air Batang Rajang.
Beliau menafikan perjanjian itu telah menangguhkan pembanjiran  empangan, dengan kos yang telah meningkat daripada kos awal RM2.4 bilion  semasa ia diumumkan pada 1986 kepada lebih RM7 bilion apabila siap  Disember akan datang.
“Jika kami diberi lampu hijau, kami menjangkakan bulan Oktober untuk  memulakan pembanjiran, tertakluk kepada paras air sungai,” katanya  dipetik sebagai berkata.
Sumber : BorneoPost Online 
No comments:
Post a Comment