KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kes saman fitnah yang difailkan
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), mengemukakan permohonan untuk
menarik diri daripada mengendalikan kes itu.
Peguam Mohd Afiq Mohd Noor memberitahu
pemberita bahawa pihaknya membuat permohonan penarikan itu pada Jumaat lepas.
Tiada alasan diberikan mengenai keputusannya itu.
Katanya Pesuruhjaya Kehakiman
Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaluddin Md Said yang mendengar prosiding di dalam
kamar semalam menetapkan 18 Jun untuk pengurusan kes.
Pada 16 Ogos lepas FELDA dan
syarikat pelaburannya, FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd, memfail saman
RM200 juta terhadap Dr Wan Azizah dan lima lagi kerana memfitnah agensi itu
menerusi artikel yang disiarkan Suara Keadilan.
Selain Dr Wan Azizah, turut
dinamakan FELDA sebagai defendan ialah Naib Presiden PKR Senator Dr Syed Husin
Ali, Pelita Koridor Sdn Bhd, Percetakan NPK Sdn Bhd, editor Suara Keadilan
Dzulkarnain Taib, dan Rusnizam Mahat, yang menulis artikel itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, FELDA
selaku plaintif, mendakwa akhbar itu menerbitkan artikel pada 22 dan 29 Jun
lepas yang mengandungi fitnah terhadap FELDA.
FELDA mendakwa artikel pertama
bertajuk ‘Felda Bangkrap’ dan artikel kedua berserta gambar bertajuk
‘Kontroversi’ dan ‘Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu’
berunsur fitnah yang boleh menyebabkan reputasi plantif terjejas.
FELDA diwakili peguam Datuk Fairuz
Hussein Jamaluddin. — Bernama
Sumber: BorneoPost Online
