09 April 2013

Peguam yang mewakili Dr Wan Azizah tarik diri

KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kes saman fitnah yang difailkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), mengemukakan permohonan untuk menarik diri daripada mengendalikan kes itu.

Peguam Mohd Afiq Mohd Noor memberitahu pemberita bahawa pihaknya membuat permohonan penarikan itu pada Jumaat lepas. Tiada alasan diberikan mengenai keputusannya itu.

Katanya Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaluddin Md Said yang mendengar prosiding di dalam kamar semalam menetapkan 18 Jun untuk pengurusan kes.

Pada 16 Ogos lepas FELDA dan syarikat pelaburannya, FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd, memfail saman RM200 juta terhadap Dr Wan Azizah dan lima lagi kerana memfitnah agensi itu menerusi artikel yang disiarkan Suara Keadilan.

Selain Dr Wan Azizah, turut dinamakan FELDA sebagai defendan ialah Naib Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali, Pelita Koridor Sdn Bhd, Percetakan NPK Sdn Bhd, editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib, dan Rusnizam Mahat, yang menulis artikel itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, FELDA selaku plaintif, mendakwa akhbar itu menerbitkan artikel pada 22 dan 29 Jun lepas yang mengandungi fitnah terhadap FELDA.

FELDA mendakwa artikel pertama bertajuk ‘Felda Bangkrap’ dan artikel kedua berserta gambar bertajuk

‘Kontroversi’ dan ‘Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu’ berunsur fitnah yang boleh menyebabkan reputasi plantif terjejas.

FELDA diwakili peguam Datuk Fairuz Hussein Jamaluddin. — Bernama

Keghairahan berpolitik dikalangan mahasiswa membimbangkan

KOTA SAMARAHAN: Keghairahan mahasiswa yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi dalam bidang politik semakin membimbangkan kerana dikhuatiri menjejaskan pelajaran mereka.

Kebimbangan itu diluahkan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Mohd Fadzil Abdul Rahman yang melihat keadaan mahasiswa kini semakin taksub terhadap politik sehingga mengabaikan pelajaran mereka.

“Saya sedih dan takut melihat keghairahan mahasiswa yang dilihat terlalu taksub dalam kancah politik sehingga mengabaikan pelajaran dan harapan ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya.

“Ini hasil pemerhatian saya melalui laman sosial, blog-blog dan video yang dimuat naik dalam Internet yang menunjukkan mereka ini terlalu mengejar dunia politik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program sukarelawan Inspirasi Kenyalang 2013 di UNIMAS semalam.

Fadzil memberitahu, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah membenarkan mahasiswa terlibat langsung dalam bidang politik di luar kampus, namun mahasiswa perlu membatasi perkara itu.

Malah beliau turut mempersoalkan tindakan mahasiswa yang hanya mentafsirkan bidang politik sahaja yang mampu menyumbang kepada negara tanpa melihat daripada sudut lain iaitu ilmu.

“Apakah mereka tidak melihat daripada sudut lain iaitu dengan menjadi individu berilmu yang dapat menabur bakti kepada rakyat melalui ilmu yang diperolehi,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menasihati mahasiswa di universiti khasnya di UNIMAS agar tidak terlalu taksub dan ghairah berpolitik.

“Kalau kail panjang sejengkal janganlah lautan dalam hendak diduga, begitulah dunia politik jika kita tidak mempunyai ilmu yang cukup janganlah kita terlalu ghairah dengannya kerana saya hanya mahu melihat anda semua menjadi manusia yang berguna, berilmu dan mampu menjadi sandaran kepada negara,” ujarnya.

Menyentuh mengenai tindakan yang akan diambil kepada mahasiswa UNIMAS yang melibatkan diri dalam politik di dalam kampus, Fadzil menjelaskan pihaknya akan memberi teguran sebelum tindakan dilakukan.

“Buat masa ini pelajar kami tidak terlibat dengan politik di dalam kampus dan jika ia berlaku kita akan memberi teguran dan nasihat,” jelasnya.

Sumber: BorneoPost Online

Followers