01 January 2013

To all


Tolak pihak rakus kuasa politik

KUCHING: Rakyat harus menolak pihak yang rakus mengejar kuasa politik dengan menggunakan pendekatan yang boleh menimbulkan prasangka buruk, fitnah melampau dan pembohongan sehingga menghuru-harakan negara.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata perbuatan seperti itu bukan sahaja menggugat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum tetapi menjejaskan perkembangan ekonomi negara.

“Kita harus mengekalkan keharmonian dan kesefahaman dalam masyarakat majmuk.

“Ini adalah tanggungjawab bersama. Perpaduan adalah juga satu bentuk khazanah yang boleh kita wariskan kepada generasi seterusnya.

“Oleh itu kita harus menolak mereka yang rakus mengejar kuasa politik dengan menggunakan pendekatan yang boleh menimbulkan kesan negatif kepada negara dan rakyat,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, beliau amat berharap pada tahun baharu ini (2013) semua rakyat berbilang kaum dan agama dapat bekerja sama dan bermaruah demi negara tercinta.

Sementara itu Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tahun baharu 2013 sudah tentu akan menyaksikan kerajaan Sarawak yang diterajui Barisan Nasional (BN) berazam untuk terus membawa kemajuan dan membangunkan rakyat dan negeri ini.

Menurutnya kerajaan mahu melihat negara amnya dan Sarawak khususnya terus maju membangun dengan rakyatnya bersatu dan menghormati antara satu sama lain.

“Secara peribadi saya berazam untuk dapat terus memberi khidmat terbaik sebagai wakil rakyat dan menteri muda untuk melihat negara dan Sarawak terus maju membangun dengan rakyatnya bersatu dan menghormati antara satu sama lain,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai azam sempena tahun baharu 2013 tentang perancangan kerajaan untuk membangun dan memajukan negeri ini pada masa akan datang.

“Berkenaan dengan belia, kerajaan negeri akan terus membimbing dan merancang pembangunan terbaik untuk belia memandangkan pentingnya golongan ini dalam pembangunan masa depan negara,” tambahnya.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13, Karim yang juga Menteri Muda Perumahan dan ADUN Asajaya berkata, BN pasti meraih kemenangan besar dalam pilihan raya nanti.

“Insya-Allah BN akan menang besar kerana rakyat sudah muak dengan telatah pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan janji manis tinggi hingga ke awan mereka.

“Semakin dekat PRU semakin banyak janji manis. Janji lama pun banyak tidak ditunaikan,” tegasnya.

Justeru, beliau yakin rakyat sudah dapat menilai sikap sebenar pembangkang yang hanya mahu mengaburi mata rakyat dengan janji kosong mereka.

“Sekarang rakyat sedar dan tahu membezakan yang mana intan yang mana kaca di antara BN dan PR,” ujarnya.

Followers