BANGKOK - Seorang lelaki, Ichiro Ogushi yang didakwa memalsukan sijil  kematian dirinya sendiri untuk mendapatkan bayaran wang insurans  bernilai berjuta-juta ringgit telah ditangkap di Thailand atas dakwaan  melanggar undang-undang imigresen selain mungkin berdepan  tuduhan-tuduhan lain.
Menurut seorang pegawai polis, Mejar Jeneral Pongdech Chaiyaprawat, dia  ditahan di rumah teman wanitanya Khamis lalu. Sebelum ini dia berada  dalam buruan polis selepas pihak imigresen mendapati sijil kematian yang  diberikan kepada Kedutaan Jepun adalah palsu. 
Menurut laporan polis, setelah syarikatnya di Jepun mengalami masalah  kewangan, Ogushi dan seorang rakan sekerjanya mengambil keputusan untuk  memalsukan kematiannya bagi memperoleh pampasan insurans sebanyak AS$5.8  juta (RM18.31 juta) Sebelum tiba di Thailand pada November lalu, dia  telah menebus tiga polisi insurans selain satu insurans nyawa yang  dicarumnya sejak remaja.
Polis menyatakan, Ogushi mengakui telah meminta rakannya yang merupakan  seorang pemandu pelancong, Pattapong Sukanthi untuk membantunya  memalsukan sijil kematian. Dia kemudian merancang supaya seorang lagi  rakannya, Sumika Tomiyasu yang bekerja di sebuah syarikat pelancongan di  Jepun menghantar sijil kematian dan abu mayat yang diambilnya dari  sebuah tanah perkuburan ke pejabat Kedutaan Jepun di Bangkok. 
Polis Thai turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Tomiyasu yang kini sudah kembali ke Jepun.
Penipuan itu terbongkar apabila Kedutaan Jepun menghubungi Polis  Imigresen Thailand bagi tujuan pengesahan. Namun, rekod menunjukkan  bahawa Ogushi telah beberapa kali melancong sekitar Thailand dan ke  negara-negara jiran. 
Para penyiasat Thailand kemudian pergi ke kawasan yang terkenal dengan  aktiviti hiburan dan pelacuran di Bangkok yang sering dikunjungi oleh  pelancong dan ekspatriat Jepun untuk mencari Oguchi.
Mereka akhirnya berjaya mendapatkan alamat rumah seorang kekasih Ogushi. 
Apabila Ogushi didapati masih 'hidup' di rumah kekasihnya, dia serta-merta didakwa atas tuduhan tinggal melebihi tempoh visa.
Polis kini sedang mengumpul lebih banyak bukti daripada pihak berkuasa Jepun untuk dakwaan lain termasuk menipu. - AP
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment