07 August 2010

Dilarang guna istilah Bufet Ramadan

JOHOR BAHRU – Hotel-hotel yang tidak mempunyai sijil perakuan halal dilarang menggunakan istilah ‘Bufet Ramadan’ kerana ia boleh mengelirukan umat Islam.

Pengarah Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Saimah Mukhtar berkata, hotel yang memiliki sijil perakuan halal daripada Jakim atau jabatan agama negeri sahaja boleh menggunakan istilah tersebut.

“Memang tidak boleh guna istilah Bufet Ramadan kerana ia mengelirukan umat Islam kecuali ada sijil perakuan halal,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Kempen 1Malaysia 1Halal di Teluk Danga di sini semalam.

Perasmian program itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri Johor, Datuk Zainal Abidin Osman.

Saimah berkata, pengguna perlu bijak dalam membuat pilihan produk halal serta mendapatkan maklumat berkaitannya sebelum membeli atau menggunakannya.

Mengulas tentang jumlah hotel yang mempunyai dapur dengan sijil perakuan halal, beliau berkata, terdapat peningkatan kesedaran di kalangan pengusaha hotel untuk memohon sijil berkenaan.

Beliau berkata, daripada lebih 600 hotel yang memiliki restoran di negara ini, hanya 33 hotel mempunyai sijil halal daripada Jakim dan jumlah tersebut tidak termasuk sijil perakuan halal yang dikeluarkan di negeri-negeri.

Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment

Followers