KUALA LUMPUR –  Polis diarah menjalankan siasatan terhadap kes buang  bayi sebagai percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat boleh  ditakrifkan sebagai kes bunuh yang membawa kepada hukuman gantung sampai  mati jika sabit kesalahan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri  Shahrizat Abdul Jalil berkata, arahan terbaru itu diputuskan selepas isu  mengenai kes buang bayi dibangkitkan oleh kementeriannya pada mesyuarat  Jemaah Menteri semalam.
Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan  bagi membendung penularan kes tersebut kerana kejadian pembuangan bayi  masih berleluasa walaupun pihak berkuasa telah melaksanakan pelbagai  inisiatif untuk menangani masalah itu.
“Sehubungan itu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis  Diraja Malaysia (PDRM) telah diminta untuk menyiasat kes-kes ini sebagai  kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat, sebagai kes bunuh,”  katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Bagi kesalahan membunuh dengan niat di bawah Seksyen 302 Kanun  Keseksaan, sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman  mati mandatori manakala di bawah Seksyen 307 kanun sama iaitu cubaan  membunuh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Sumber : Kosmo 
No comments:
Post a Comment