MELAKA - Tembelang sepasang kekasih yang membuang bayi lelaki berusia  lima bulan ke dalam tong sampah Hospital Melaka di sini terbongkar  apabila kedua-dua mereka ditahan ketika ibu bayi itu mendapatkan rawatan  di hospital tersebut kelmarin.
Kejadian pukul 4 petang itu terbongkar apabila kakitangan hospital  berasa curiga melihat keadaan wanita tersebut seperti baru bersalin  walaupun pada mulanya dia menafikannya.
Selepas didesak, wanita tersebut akhirnya mengaku yang dia baru sahaja  melahirkan anak di dalam tandas hospital sebelum membuangnya di dalam  tong sampah.
Bagaimanapun, pencuci bangunan kemudian secara tidak sengaja telah  memindahkan sampah yang mengandungi bayi tersebut ke dalam tong sampah  besar.
Sehubungan itu, polis terpaksa mengambil masa selama dua hari untuk  mencari mayat bayi tersebut dengan menyelongkar lebih 20 buah tong  sampah sebelum ia ditemui pukul 1.50 petang semalam di pusat pengumpulan  sampah hospital.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan  Abdullah berkata, siasatan mendapati pasangan tersebut berusia dalam  lingkungan 20-an dan merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
"Sebaik menerima maklumat, kita telah melancarkan operasi mencari mayat  bayi tersebut. Polis bernasib baik kerana menemuinya semula," katanya  pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka semalam.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment