Sungai Rajang semakin cetek hingga menyebabkan kos pengangkutan meningkat tiga kali ganda
SONG: Kerja-kerja penaku-ngan air di Empangan Hidroelektrik Bakun  (Empangan Bakun) tidak akan diberhentikan walaupun paras air di Sungai  Rajang kini semakin cetek.
 
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah  Ali Hassan berkata kerajaan mengambil keputusan untuk tidak  menghentikan kerja-kerja penakungan air walaupun paras air sungai itu  ketika ini semakin cetek, terutama di bahagian hulu.
Awang Tengah menjelaskan, kerajaan mengambil masa yang lama sebelum  membuat keputusan untuk memulakan kerja-kerja penakungan air di Empangan  Bakun yang bermula pada 13 Oktober lalu.
“Mengikut kajian sebelumnya, kerajaan mengandaikan ketika ini musim  hujan, tetapi apa yang berlaku adalah sebaiknya. Ini adalah di luar  jangkaan kita semua,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah  Rehat Song di sini, pagi semalam.
“Kita berharap agar hujan turun untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
“Tetapi kita akan tetap melepaskan air dari takungan dari semasa ke  semasa untuk mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk,” tambah beliau  lagi.
Beliau berkata sejumlah air juga telah dilepaskan daripada Empangan  Bakun itu bagi mengekalkan paras di Sungai Rajang kepada 43 aras laut  purata (MSL).
“Paras terendah yang dicatatkan adalah di antara Kapit dan Belaga  iaitu pada 41 MSL. Walaupun bot ekspres dan bot kargo tidak dapat mudik  ke Belaga namun sungai itu masih dapat dilalui oleh perahu,” katanya.
Awang Tengah berkata kerajaan negeri juga akan mendapatkan bantuan  daripada kontraktor dan sektor swasta jika keadaan memerlukan.
Proses penakungan itu dijangka mengambil masa tujuh bulan dan dua  minggu bagi mencapai paras ketinggian yang dikehendaki iaitu setinggi  bangunan 44 tingkat meliputi kawasan seluas 69,000 hektar.
Sebelum itu, Residen Kapit, Dahim Nadot ketika ditemui untuk mengulas  perkara yang sama, berkata kawasan yang paling teruk terjejas ialah  dari kawasan Merit hingga ke hulu (ke pekan Belaga).
Katanya masalah paras sungai yang cetek dan deras ini telah menjejaskan perkhid-matan pengangkutan.
“Keadaan menyebabkan kos pengangkutan untuk menghantar bekalan  makanan ke sekolah di kawasan yang terjejas telah meningkat tiga kali  ganda berbanding waktu biasa,” katanya.
Tambahnya, kos ini meningkat kerana penghantaran perlu dilakukan  melalui jalan kem pembalakan disebabkan bot ekspres tidak dapat  beroperasi dan sukar untuk melalui beberapa bahagian terutama kawasan  yang berjeram berikutan air Sungai Rajang yang semakin cetek.
Dahim berkata, pihaknya dalam proses menyiapkan laporan untuk  memaklumkan kepada Jawatankuasa
Bencana Alam Negeri tentang ke-susahan  yang dialami oleh penduduk yang berada di kawasan yang terjejas.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Awang Tengah berkata kajian  yang lebih lanjut akan diadakan untuk mengetahui punca sebenar yang  menyebabkan berlakunya kejadian himpunan kayu hanyut di sungai yang sama  pada 7 Oktober lepas.
“Kajian awal kita menunjukkan hujan lebat merupakan antara sebab  utama yang menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh dan seterusnya  mencetuskan fenomena tersebut.
“Namun kita menunggu hasil kajian yang lebih terperinci yang sedang dilakukan pada masa ini,” katanya
Sumber :BorneoPost Online 
 
No comments:
Post a Comment