NEW YORK - Objek terbang tidak dikenali (UFO) yang menggemparkan  penduduk di bandar raya ini pada Rabu lalu dipercayai beberapa belon  parti sebuah sekolah di Westchester, lapor sebuah akh bar semalam.
Seorang guru besar Sekolah Milestone di Mount Vernon, Westchester,  Angela Freeman berkata, seorang ibu membawa empat dozen belon untuk  parti meraikan seorang guru. "Tiba-tiba, 12 daripada belon itu  terlepas," katanya.
Ia terlepas ke udara pada kira-kira pukul 1 petang manakala satu  objek yang disangka UFO dilihat buat kali pertama di Manhattan pada  pukul 1.30 petang.
"Ia munasabah (UFO itu sebenarnya belon). Belon itu bergerak ke West Side (New York)," kata guru besar itu.
Kemunculan objek misteri itu menyebabkan ramai orang menghubungi talian kecemasan 911 pada Rabu lalu.
Seorang ahli meteorologi di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Brian  Ciemnecki berkata, angin mungkin dengan mudahnya menolak belon itu ke  Manhattan di New York.
Sebelum dia membuat kenyataan itu, Pengarah Pusat Laporan UFO  Kebangsaan, Peter Davenport menyatakan, berdasarkan pendapatnya, objek  misteri itu sebenarnya adalah belon. - Agensi
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment