28 October 2010

Wanita di luar bandar perlu berani rebut peluang

MARUDI: Menteri Muda Bekalan Air merangkap Menteri Muda Kemajuan Tanah, Sylvester Entri meminta golongan wanita di kawasan luar bandar daerah ini supaya menyiapkan diri mereka dengan pengetahuan dan merebut peluang-peluang ekonomi.
Katanya, kerajaan melalui pelbagai agensinya seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES), GiatMARA dan sebagainya yang me-nyediakan banyak peluang yang boleh diceburi untuk membantu golongan wanita meningkatkan taraf hidup dan ekonomi rumah tangga mereka.
Justeru beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata      wanita-wanita di luar bandar harus melihat dan mengambil peluang ini untuk membangun dan memajukan diri sendiri.
“Peluang-peluang ini jika tidak dimanfaatkan akan direbut oleh orang lain dan akhirnya siapa yang rugi? Jika kita tidak pantas merebut peluang untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan diri, nantinya kita hanya akan melihat orang lain sahaja meraih kejayaan dan kekayaan dan kita masih di takuk lama,” katanya.
Entri berkata demikian semasa berucap di majlis penangguhan Program 1 Malaysia Bersama Pemimpin di Rumah Embam di Sungai Sebubu, Tinjar dekat sini.
Majlis tersebut telah dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Sarawak (JASA) bahagian Marudi.
Dalam perkembangan yang sama, Entri turut menyeru masyarakat setempat supaya melihat potensi pembangunan tanah Hak Adat (NCR) di kawasan mereka.
“Penduduk digalak mengambil peluang daripada pelbagai projek pembangunan untuk tanah NCR yang sedang berlaku di kawasan anda terutama projek penanaman secara komersil yang boleh memberi keuntungan yang lumayan,” katanya.
Tambahnya jika mereka bijak mengambil peluang pembangunan, maka lebih banyak kemajuan infrastruktur akan dibawa masuk ke kawasan mereka kelak.
Justeru beliau mengingatkan penduduk supaya terus memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional bagi membolehkan perancangan dan projek pembangunan yang dirancang untuk mereka dapat diteruskan dan dilaksanakan.
“Ini termasuklah projek-projek pembangunan prasarana seperti bekalan air, jalan raya, balai raya dan sebagainya,” tambahnya.
Di majlis yang sama Entri turut mengumumkan geran projek pembangunan kecil luar bandar (MRP) daripada kerajaan negeri berjumlah RM10,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Rumah Embam, serta menyerahkan bantuan kebajikan untuk 21 orang penerima  di rumah panjang tersebut.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri, Robert Laing Anyie, Pegawai Daerah Baram, Joseph Belayong, ketua kaum rumah panjang berkenaan Tuai Rumah Embam Siam serta pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

sumber: theborneopost

No comments:

Post a Comment

Followers