LONG BERUANG, MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Lihan  Jok menyifatkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred  Jabu sebagai pembela utama kaum Penan di Sarawak.
Beliau menyatakan bahawa isu-isu menyentuh masyarakat Penan seringkali  mendapat perhatian Jabu dan mendapat pembelaan daripada beliau dengan  serta-merta.
“Beliau (Jabu) adalah orang pertama yang akan tampil jika sesuatu  perkara timbul berkenaan dengan masyarakat Penan,” kata Lihan semasa  majlis perasmian Pusat Komuniti Penan di Long Beruang, Rabu lepas yang  dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred  Jabu.
Pada masa sama, Lihan turut menyeru masyarakat Penan agar mengambil  setiap peluang untuk terus membangunkan diri mereka sendiri supaya tidak  dilabel mundur oleh anasir-anasir luar yang tidak bertanggungjawab.
“Saya merayu kepada semua rakan daripada kalangan masyarakat Penan di  kawasan Baram ini untuk terus berusaha membangunkan diri dan termasuk  juga masyarakat Penan yang berada di kawasan Limbang, Lawas, Belaga dan  di mana pun mereka berada,” ujarnya.
Katanya, ada pihak yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  yang tidak bertanggungjawab, masih melabel masyarakat Penan sebagai  golongan yang masih jauh ketinggalan daripada pelbagai aspek.
Oleh itu, menurut Lihan, masyarakat tersebut harus kerap mendekatkan  diri dengan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi menjamin  pembangunan serta pada masa sama menjauhkan diri daripada anasir-anasir  tidak bertanggungjawab tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa kini sudah terbukti bahawa terdapat  individu daripada masyarakat Penan yang telah berjaya dalam kehidupan  mereka.
“Ini sebenarnya menunjukkan perubahan yang sudah dapat kita lihat di  kalangan masyarakat Penan dan ia adalah sesuatu yang baik,” ujarnya  Lihan lagi.
Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut adalah Timbalan Menteri  Perdagangan Antarabangsa dan Industri  Datuk Jacob Dungau Sagan,  Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Ose Murang serta  Menteri Muda Kesihatan Awam dan Menteri Kemudahan Awam Dr Stephen Rundi  Utom.
Sumber : BorneoPost Online
No comments:
Post a Comment