KUCHING: Seorang lelaki berusia 53 tahun dipercayai orang tengah dalam  sindiket pemerdagangan bayi ditahan reman selama enam hari bersama tiga  lagi suspek baru kes tersebut di Mahkamah Majistret semalam.
Tiga suspek tersebut merupakan sepasang suami isteri berusia 40 tahun  dan seorang pemandu berusia 48 tahun kepada suspek bergelar Datuk yang  ditahan reman Rabu lepas, turut direman bagi membantu siasatan dalam kes  pemerdagangan bayi itu.
Suspek ditahan reman berdasarkan permohonan pihak pendakwa yang  dibenarkan oleh Majistret Nelson E.Angang di sini, semalam.
Kini jumlah kesemua suspek yang ditahan reman bagi siasatan kes itu  ialah sebanyak 12 orang di mana dua daripadanya bergelar ‘Datuk’ dan  ‘Datin’.
Empat lagi suspek baru bagi kes pemerdagangan bayi berjaya ditangkap  pada Khamis lepas selepas menerima maklumat daripada orang awam di  antara jam 9 malam dan 12 tengah malam.
Mereka ditangkap di beberapa lokasi berlainan iaitu di Kampung Patingan  di mana pasangan suami isteri ditangkap, di Kenyalang Park suspek yang  dipercayai sebagai orang tengah dan di Kampung Kudei, pemandu ‘Datuk’  tersebut.
Kesemua suspek kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta  Anti-Pemerdagangan Orang 2007.
Mereka ditahan reman bagi membantu siasatan untuk kes pemerdagangan bayi  yang kini di bawah jagaan polis.
Keempat-empat suspek tidak diwakili peguam bela manakala Inspektor Tina  Manchu bertindak sebagai pemohon kes tersebut.
Sumber : BorneoPost Online
No comments:
Post a Comment