KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu kebakaran  gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati disebabkan perbuatan yang  disengajakan dengan menggunakan petrol.
Ahli Kimia Shaari Desa, 43, berkata, ini terbukti dengan kesan petrol  diperoleh dari bekas plastik yang dijumpai dalam gereja tersebut ketika  membuat pemeriksaan pada 8 Januari lalu.
Katanya, ketika sampai di tempat kejadian kira-kira pukul 4.35 petang  didapati kebakaran berlaku di tingkat bawah bangunan tiga tingkat  tersebut dengan kebakaran kuat dikesan pada ruang berhadapan dengan  pintu masuk utama.
"Pemeriksaan selanjutnya mendapati kesan-kesan tompokan kehitaman pada  lantai di ruang tersebut yang konsisten dengan kesan disebabkan bahan  penggalak kebakaran.
"Berdasarkan analisis didapati terdapat kesan petrol pada bekas plastik,  tiada sebarang hidrokarbon mudah terbakar dikesan pada masa kebakaran  dan pada penutup botol (dijumpai di tempat kejadian). Didapati juga  tiada sebarang kesan pecahan kaca atau benda asing lain yang penting  pada ”adjustable spanner”,” katanya.
”Adjustable spanner” adalah salah satu barang kes yang didakwa digunakan  untuk memecahkan cermin.
Dalam perbicaraan ini, Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24; adiknya  Raja Mohamad Idzham, 22; dan Azuwan Shah Ahmad, 23; didakwa bersama-sama  beberapa orang yang masih bebas, melakukan khianat dengan membakar  gereja itu di Jalan 4/4C, Desa Melawati pukul 11.50 malam, 7 Januari  lepas.
Ketiga-tiga tertuduh yang bekerja sebagai penghantar surat didakwa  mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang  membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit  kesalahan.
Shaari berkata, berdasarkan kepada kerosakan kebakaran dan penemuan  petrol pada serpihan kayu, beliau berpendapat kebakaran tersebut adalah  disengajakan.
Ditanya peguam Datuk Haniff Hashim yang mewakili Raja Mohamad Faizal dan  Raja Mohamad Idzham adakah kehadiran orang ramai di tempat kejadian  mengganggu penyiasatannya, Shaari berkata: “Kehadiran orang ramai banyak  mempengaruhi penyiasatan saya di tempat kejadian kerana mungkin banyak  pencemaran pada bila-bila masa.” 
Bagaimanapun, katanya, keputusan penyiasatan kes kebakaran itu  (perbuatan disengajakan) adalah berdasarkan fakta dan bahan bukti.
Perbicaraan di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah disambung esok. - Bernama
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment