KUCHING - Gara-gara membuat laporan palsu bahawa wang tunai RM5,000  miliknya telah dirompak dua anggota polis, seorang penyelia stor kini  disiasat polis. 
Dalam insiden itu, lelaki berusia 42 tahun tersebut mendakwa wang  berkenaan,  kad pengenalan dan kad ATM miliknya telah dilarikan dua  lelaki bermotosikal di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di  sini pada 8.50 pagi semalam. 
'Mangsa' mendakwa kedua-dua lelaki yang berjaket hitam dan  berkemeja-T dengan logo polis itu telah mengacukan sesuatu menyerupai  pistol ke pinggangnya, sebelum melarikan duit tersebut yang didakwa  diletakkan dalam sampul surat.
Lelaki tersebut kemudian membuat laporan di Balai Polis Padungan di sini kira-kira 10 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong yang mengesahkan  kejadian itu berkata, lelaki tersebut bagaimanapun mengaku membuat  laporan palsu setelah disoal siasat.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat  laporan palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau  denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya," katanya kepada Bernama hari  ini.
Beliau berkata kes itu akan dirujuk kepada Peguam Kanan Persekutuan untuk tindakan lanjut. - Bernama
Sumber : Kosmo 
No comments:
Post a Comment