06 November 2010

Jangan antiorang kaya: KM


Politik antiorang kaya dikuatiri akan bantut pembangunan ekonomi negeri ini

MIRI: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menggesa rakyat negeri ini menolak politik antiorang kaya yang dikuatiri akan membantutkan pembangunan ekonomi negeri ini.

Taib memberitahu, cita-cita kerajaan menjadikan Sarawak negeri berpendapatan tinggi tidak akan tercapai dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sokongan daripada golongan berkenaan yang merupakan pelabur besar untuk ekonomi Sarawak.

“Rakyat perlu belajar agar tidak mempunyai sikap antiorang kaya,  antiahli perniagaan, antigolongan korporat kerana pembangunan ekonomi negara pada masa ini bergantung kepada golongan ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan upacara pecah tanah jalan dua sehala di Taman Tunku oleh Rich Venture Construction Sdn Bhd semalam.

Dengan memberi contoh, negara China dan Kesatuan Soviet sebelum ini menghalang penglibatan ahli perniagaan telah membantutkan pembangunan ekonomi kerajaan berkenaan.

Menyedari kesan negatif polisi ini, kedua-dua kerajaan mengubah polisi pemerintahan mereka dengan bekerjasama dengan usahawan dan sektor swasta merancang ekonomi mereka yang sekarang ini berkembang maju.

Politik anti-orang kaya di negeri ini cuba dihidupkan semula oleh pihak luar untuk mempengaruhi pemikiran dan persepsi rakyat.

Kerajaan tidak akan menyo-kong pengaruh negatif  dan propaganda parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia yang memutarbelitkan politik berkenaan agar rakyat menentang usaha kerajaan.

“Saya cuba menghentikan politik ini pada tahun 80-an kerana saya tahu Sarawak tidak akan membangun tanpa kerjasama mereka (orang kaya).

“Sebab itulah, kerajaan negeri kita mengamalkan polisi iaitu membimbing ahli perniagaan yang baru dan memberi galakan kepada ahli perniagaan,” katanya.

Taib menambah, dalam pembangunan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), 70 peratus pelaburan ialah daripada sektor swasta dan 30 peratus ialah daripada kerajaan untuk membangunkan infrastruktur.

Pelaburan swasta dapat membantu kerajaan negeri mengubah taraf hidup rakyat daripada golongan berpendapatan sederhana kepada golongan berpendapatan tinggi.

“Pembangunan tidak akan dapat dilaksanakan tanpa pemimpin-pemimpin korporat yang tidak takut berbelanja besar untuk bersama membangunkan infrastruktur serta tanah di negeri ini.

“Inilah cara kita membangunkan negara ini (kerjasama kerajaan dan swasta). Pembangunan yang kita rancangkan adalah untuk membolehkan rakyat hidup dengan lebih baik,” jelasnya.

Beliau berterima kasih kepada ahli-ahli perniagaan, korporat dan swasta di atas keprihatinan dan sokongan mereka kepada kerajaan dan diharap dapat diper-kuatkan demi kejayaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air  Datuk Seri Peter Chin,  Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Sng, ADUN Lambir Datuk Aidan Wing dan Pengarah Urusan Rich Venture Hii King Chiong.

Sumber : BorneoPost Online

No comments:

Post a Comment

Followers