JAKARTA - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bercakap dalam  bahasa Indonesia semasa mengucapkan terima kasih terhadap layanan yang  diberikan oleh rakan sejawatannya dari Indoensia, Susilo Bambang  Yudhoyono pada jamuan makan malam kelmarin di Istana Merdeka, lapor  sebuah akhbar semalam.
"Terima kasih untuk bakso, nasi goreng, emping, krupuk. Semuanya  enak," kata Obama selepas memakan hidangan yang digemarinya sewaktu di  tinggal di Jakarta semasa kecil pada 1960-an bersama ibu kandung beliau  dan bapa tirinya.
Obama tiba di Jakarta kelmarin dalam lawatan selama 20 jam sebelum  beliau berlepas semalam ke Korea Selatan untuk menghadiri mesyuarat  Kumpulan 20 yang dianggotai negara maju dan membangun. 
Presiden AS itu turut menyatakan, pemandangan di Jakarta sudah berubah sejak beliau berada di bandar raya tersebut pada 1967.
Beliau tinggal bersama ibu kandung dan bapa tirinya yang merupakan warga Indonesia di sebuah rumah di Menteng Dalam di sini. 
"Saya mengingati orang ramai menaiki becak...beca atau bemo yang  sejenis pengangkutan seperti teksi. Kini sebagai Presiden, saya tidak  dapat melihat trafik. Jalan raya disekat," katanya sambil diiringi  ketawa daripada sekumpulan pegawai dan pemberita.
Presiden AS itu menyatakan demikian bagi merujuk laluan konvoi Obama  yang disekat daripada dilalui kenderaan awam semasa beliau tiba di  Jakarta petang kelmarin.
Sementara itu, semasa berpidato di Universiti Indonesia semalam,  Obama turut mengucapkan salam dengan berkata: "Assalamualaikum. Salam  sejahtera."
Ucapan salam itu mendapat tepukan gemuruh daripada pendengar yang padat memenuhi dewan tempat beliau berucap.
Kelmarin, Obama turut mengucapkan assalamualaikum kepada pemberita di Istana Merdeka.
Presiden AS itu turut menyebabkan pendengar gelak ketawa di dewan  Balairung Kampung universiti tersebut apabila beliau berkata dalam  bahasa Indonesia : "Pulang kampung nih."
Lebih 6,000 orang mendengar ucapan Obama itu.
Dalam suasana yang ceria, pendengar turut mendengar Presiden AS itu  menceritakan penjaja jalanan melaungkan perkataan sate dan bakso pada  waktu malam.
"Indonesia bagian dari diri saya," kata Obama dalam bahasa Indonesia.
Obama berkata, adik tirinya, Maya Soetoro dilahirkan semasa beliau berada di Jakarta. 
Menurut Presiden AS itu, semasa kecil, beliau akan bermain layang-layang, berlari di sawah padi dan menangkap pepatung.
"Jika anda bertanya kepada saya atau rakan-rakan sekolah saya yang  mengenali saya, saya tidak berfikir mana-mana daripada kita boleh  meramalkan bahawa pada satu hari nanti, saya akan kembali ke Jakarta  sebagai Presiden Amerika Syarikat," katanya yang mendapat tepukan  gemuruh daripada pendengar.
Presiden AS itu turut menyatakan bahawa Indonesia adalah contoh  paling terkuat sebagai satu kemunculan demokrasi untuk memajukan ekonomi  dan sebuah negara Muslim yang bertoleransi dengan agama lain.
"Pencapaian anda menunjukkan demokrasi dan pembangunan saling memperkuatkan antara satu sama lain," katanya.
Obama menyatakan, walaupun Indonesia sudah mengalami banyak  perubahan, perkara penting yang dipelajarinya mengenai negara ini ialah  semangat tolak ansur yang termaktub dalam perlembagaan dengan  terdapatnya masjid, gereja dan kuil.
Presiden AS itu yang tidak berucap panjang kerana meninggalkan  Indonesia pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan berkata: "Kita semua  perlu menewaskan Al-Qaeda dan sekutu-sekutunya."
Mengenai Asia Barat, Obama menyatakan proses keamanan Israel-Palestin  menemui banyak halangan selepas beliau melancarkan semula rundingan  pada September lalu.
Semasa menutup pidatonya, Obama berkata: "Terima kasih, selamat sore... Assalamualaikum." - Agensi
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment