24 September 2010

Sarawak catat RM19.35 bilion FDI dalam tempoh tiga tahun

KUCHING: Sarawak berjaya mencatat RM19.35 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dalam tempoh tiga tahun lalu kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan. Ia kata beliau, menjadikan Sarawak antara negeri yang mempunyai prestasi terbaik dari segi tarikan FDI.

“Sarawak sesungguhnya merupakan negeri yang mempunyai prestasi terbaik seluruh negara dari segi FDI,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama antara industri dan universiti tempatan di pejabatanya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Dr Chan yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata jumlah berkenaan berdasarkan kepada enam syarikat multinasional yang telah memperoleh lesen perkilangan (ML) untuk memulakan perniagaan mereka di sini.

“Terdapat 27 kertas cadangan keseluruhannya daripada pelabur-pelabur asing dengan pelaburan bersih RM267 bilion,” katanya.

Dr Chan memberitahu ada antara syarikat asing terbabit telah membina loji mereka di sini termasuk Sarawak Press Metal di Mukah, Tokoyama dan MEMC Sarawak (Sdn Bhd).

Difahamkan juga Tokoyama bakal melabur antara RM4 bilion dan RM5 bilion sementara MEMC melabur kira-kira RM2 bilion.

MEMC yang bertapak di Amerika Syarikat bakal mengeluarkan panel solar daripada loji mereka di Estet Perindustrian Samajaya.

Dr Chan berkata antara faktor utama yang menarik pelabur-pelabur asing ke negeri ini adalah projek mega Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dijangka menarik kira-kira RM334 bilion dalam jangka masa 20 tahun akan datang.

“Kira-kira 80 peratus daripada pelaburan itu adalah daripada sektor swasta sementara bakinya 20 peratus daripada sektor awam,” tambah beliau.

Berhubung mesyuarat yang diadakan beliau berkata kementeriannya akan memulakan jaringan antara industri dan universiti tempatan dalam usaha menyediakan pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

“Adalah amat penting kepada industri dan universiti mempunyai jaringan langsung supaya para pelajar daripada universiti tempatan dapat bekerja dengan cepat selepas menamatkan pengajian,” katanya.

Beliau memberitahu antara pekerjaan yang paling tinggi permintaan selepas tamat pengajian di industri tempatan adalah jurutera.

“Kementerian saya merancang untuk bergerak seiring dengan keperluan industri di negeri ini,” katanya.

Hadir sama pada sidang media dua menteri mudanya Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen dan Larry Sng serta wakil-wakil daripada industri dan universiti.

Sumber : BorneoPost Online

No comments:

Post a Comment

Followers