KUCHING: Seorang ahli persatuan Cina diserang menggunakan alat pemadam  api selepas cuba menyelamatkan wang sumbangan daripada dirompak oleh dua  orang lelaki.
Insiden tersebut berlaku pagi Rabu lepas selepas ahli keluarga dan  saudara kepada seorang wanita berusia 94 tahun yang telah meninggal  dunia tiga hari lepas beredar dari kediaman mereka di Batu 6 ½ Jalan  Penrissen ke tanah perkuburan Cina di Batu 8 untuk acara pengebumian.
Tiga saudara termasuk seorang gadis remaja dan dua ahli persatuan Cina  dikatakan masih berada di kediaman tersebut untuk mengira sumbangan yang  diperolehi sebelum didatangi oleh empat orang lelaki yang menaiki  kereta model Nissan Sunny berwarna putih.
Dua daripada lelaki tersebut keluar dan terus berlari ke arah lelaki  yang juga ahli persatuan yang baru selesai mengira wang sumbangan  tersebut dan terus merampas wang berjumlah RM3,665 dan kembali ke  kereta.
Lelaki tersebut dikatakan cuba mengejar suspek yang menyebabkan salah  seorang daripada suspek mengambil alat pemadam api dari dalam kereta dan  terus menyeburkannya ke arah muka lelaki itu.
Keempat-empat suspek dikatakan terus meninggalkan tempat kejadian dan  mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan. Laporan polis berhubung  kejadian telah dibuat pada hari yang sama dan siasatan berhubung  kejadian masih dilakukan.
Sementara itu, kereta yang dikatakan telah digunakan oleh keempat-empat  suspek dijumpai di sebuah semak di Batu Kitang petang semalam.
Kereta tersebut telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Sumber : BorneoPost Online
No comments:
Post a Comment