KUCHING: Rakyat Sarawak diseru supaya tidak  melibatkan diri dengan kempen Bebaskan Anwar 901, yang dianggap sebagai  permainan politik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha  Agung Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata,  rakyat Sarawak perlu mengelakkan diri terbabit dalam permainan Anwar  itu yang terdesak untuk menjadi Perdana Menteri.
“Elakkan terlibat  dengan keadaan kacau-bilau, yang digemari oleh pembangkang untuk  menghasut rakyat untuk membenci kerajaan.
“Ini kerana yang rugi  nanti bukannya Anwar Ibrahim tetapi kita serta negara malahan keadaan  aman harmoni juga akan tercalar,” katanya melalui sistem pesanan ringkas  (SMS) kepada Utusan Borneo di sini, semalam.
Dr Rundi  yang juga Setia-usaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)  berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Parti  Keadilan Rakyat (PKR) untuk meneruskan demonstrasi Bebaskan Anwar 901  pada 9 Januari ini di ibu negara.
Dr Rundi menegaskan bahawa  negara mempunyai undang-undang untuk melindungi rakyat tanpa mengira  sama ada mereka penyokong kerajaan atau tidak.
“Kita harus  menghormati undang-undang ini yang telah diluluskan oleh semua wakil  rakyat termasuk pembangkang dan mahkamah akan menentukan seseorang itu  bersalah atau tidak.
“Bukannya melalui tunjuk perasaan atau  membantah secara membuta tuli,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment