BINTULU: Rakyat diingatkan agar menganalisis  tindakan Pakatan Rakyat (PR) Sarawak yang saling tidak sehaluan dalam  pembahagian peruntukan kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin  berkata, rakyat perlu berfikir sebaiknya sebelum menggadai masa depan  mereka dan anak-anak mereka kepada ahli politik sebegini.
Justeru Chin mengingatkan rakyat agar memikir sedalam-dalamnya  sebelum membuat pilihan calon yang betul yang akan mewakili mereka dalam  kerajaan semasa pilihan raya negeri kelak.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan program ceramah  motivasi yang berlangsung dua hari anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak  (SUPP) Cawangan Bintulu di Highland Seafood Restaurant kelmarin.
Dalam perkembangan lain katanya, dengan kerja keras dan sokongan  majoriti daripada pengundi Bumiputera yang lebih gemar untuk menyokong  Barisan Nasional (BN) meskipun kita tidak mengabaikan akan kepentingan  pengundi Cina, BN mampu memenangi semula kerusi Kidurong.
Beliau berkata, jumlah pengundi baru di konstituensi Kidurong  menunjukkan pecahan pengundi Cinanya adalah 52.17 peratus dan selebihnya  adalah pengundi Bumiputera.
Katanya, ahli-ahli parti tidak seharusnya mempunyai tanggapan yang pengundi muda Cina lebih propembangkang.
“Jika kita bercakap kepada mereka dan menjelaskan kepada mereka  mengenai fakta dan sumbangan BN, mereka akan menyokong BN,” katanya.
Chin berkata,  untuk memenangi kembali kerusi Kidurong bukanlah satu  tugas berat berdasarkan kepada rekod baik yang dicapai oleh BN.
Beliau menggambarkan BN sebagai sebuah parti politik berjenama yang bergabung dengan 13 parti komponen lain di seluruh negara.
“Bermula semasa kemerdekaan hingga sekarang, ia terus mentadbir  negara dan bersama dengan BN Negeri mentadbir negeri Sarawak,” katanya.
Begitupun Chin menasihati ahli parti agar tidak berasa lemah semangat  berikutan kekalahan kepada pembangkang dalam dua pilihan raya yang  lepas di kerusi Kidurong.
“Memenangi kembali kerusi daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP)  dalam pilihan raya negeri ini adalah tugas setiap ahli parti (SUPP),”  katanya.
Beliau berkata, tugas pertama ahli parti adalah perlu meningkatkan  moral dan keyakinan mereka sebelum keluar berkempen serta perlu menerap  semangat kerjasama dan rasa memiliki terhadap parti.
“Sekiranya tiada perpaduan antara anda serta semangat kerjasama  adalah sukar untuk anda berlawan di setiap pertempuran,” katanya.
Beliau yang juga setiausaha SUPP menggambarkan konsep 1Malaysia  sebagai kempen dan alat terbaik untuk ahli-ahli memenangi sokongan dan  penerimaan daripada pengundi.
Katanya, konsep 1Malaysia seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana  Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu refleksi keikhlasan untuk  mewujudkan keadilan dan kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia tidak  mengira bangsa, agama dan kepercayaan dalam pembangunan arus perdana.
Turut berucap dalam majlis itu Pengerusi SUPP Cawangan Bintulu Henry Ling Kuong Meng dan pengerusi penganjur James Wong.
Sumber: BorneoPost Online 
No comments:
Post a Comment