KUCHING: Dialog Warisan Serumpun Orang Ulu Sarawak (Malaysia) dan  Kalimantan Timur (Indonesia) merupakan landasan memperkukuh hubungan  etnik terbabit di kedua-dua negara.
Ketua Delegasi merangkap  Bupati Malinau Kalimantan Timur Dr Yansen Tipa Padan berkata perjumpaan  masyarakat Orang Ulu dalam dialog terbabit telah mem-buka lembaran baru  bagi memper-kukuh hubungan mereka.
“Kami adalah serumpun tetapi dipisahkan dengan persempadanan negara berjiran, Malaysia dan Indonesia.
“Namun,  saya percaya perjumpaan ini (dialog) mampu memperkukuh hubungan kami  dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya ketika ditemui selepas  perasmian dialog terbabit di sini semalam.
Menurut Dr Yansen, sememangnya banyak persamaan di antara etnik terbabit meskipun mereka tinggal di negara yang berbeza.
Katanya, budaya masyarakat minoriti itu adalah sama kerana mereka mempunyai hubungan silaturahim yang begitu akrab.
“Saya  percaya dengan perjumpaan itu maka kami terus memperkukuh hubungan dua  hala kedua-dua negara tanpa batasan,” katanya sambil mengharapkan  kerajaan negeri ini membuka laluan untuk kemasukan etnik terbabit ke  sini.
Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Angeline Umih  Tujok yang mewakili Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo,  Pemanca Tomy Kulleh, Pengarah Imigresen Sarawak Datu Robert Lian dan  Presiden Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) Sarawak Datuk Abu Bakar  Abdullah.
Dr Yansen menarik perhatian hubungan persempadanan menjadi masalah utama etnik kedua-dua negara itu.
Ini  kerana katanya, kebanyakan etnik terbabit tinggal di persempadanan  kedua-dua negara yang semestinya memerlukan pas imigresen untuk  memudahkan mereka ber-urusan dalam pelbagai bi-dang.
“Saya percaya  dengan penyelesaian masalah imigresen maka kami etnik serumpun  kedua-dua negara dapat mempertingkatkan hubungan dalam ekonomi, sosial  dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Abu Bakar berkata dialog  terbabit melibatkan penyertaan ketua-ketua masyarakat dari daerah Belaga  dan Long Nawang, Kecamatan Kayan Ulu Kalimantan Timur.
Katanya,  seramai 40 delegasi dari Kalimantan Timur dan lebih 20 pemimpin  masyarakat Orang Ulu di negeri ini menghadiri dialog yang julung kali  diadakan itu.
“Kita amat berbangga dengan kehadiran delegasi Orang  Ulu dari Kalimantan Timur dan juga dari Belaga yang bersama-sama  berbincang dalam menangani isu persempadanan,” katanya.
Sehubungan  itu, delegasi kedua-dua negara terbabit diraikan pada majlis malam  mesra sempena dialog itu di sebuah hotel terkemuka di sini malam  kelmarin (Isnin).
No comments:
Post a Comment