KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Larry Sng sekali lagi  memberitahu bahawa beliau menyerahkan sepenuhnya masa depan politiknya  kepada pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) Negeri dan rakyat, khasnya  di konstituensi itu.
“Sudah tentu saya dari pelagus, hati saya sentiasa di Pelagus kerana  keluarga saya berasal dari situ, dari mana saya datang, jadi setakat ini  komitmen kepada rakyat (di sana) kekal seperti sebelum ini.
“Saya serahkan kepada rakyat tentukan masa depan politik saya dan  bagi saya jiwa saya sentiasa mahu berkhidmat untuk mereka (rakyat),  itulah komitmen saya sejak berkecimpung dalam dunia politik pada 2001  dan ia kekal hingga kini,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu Sng yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Belia dan Latihan  Belia  mempengerusikan sidang media berhubung Perhimpunan Belia 2011  Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di  sini, semalam.
Beliau menambah, sejak bergelar wakil rakyat Pelagus, banyak isu akar  umbi dibawa kepada perhatian pihak berwajib dan pada masa sama membawa  sebanyak mungkin pembangunan ke kawasan DUN berkenaan.
“Saya mahu membawa lebih banyak lagi pembangunan ke sana dan itulah  yang mahu saya lakukan dan itulah yang saya lakukan selama ini,”  ujarnya.
Sng berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Pelagus dalam pilihan raya negeri akan datang.
Ditanya saya sama ada beliau akan bertanding sebagai calon Bebas  dalam pilihan raya negeri nanti, Sng dengan pantas berkata: “Seperti  saya katakan tadi, saya serahkan masa depan politik saya kepada pucuk  kepimpinan BN dan rakyat tentukan… ia bukan keputusan saya. Itu  keputusan rakyat.”
Sng merupakan satu-satunya ahli kabinet negeri yang tidak mewakili  mana-mana parti selepas keahliannya digugurkan daripada Parti Rakyat  Sarawak (PRS) pada 2008 ekoran masalah dalaman parti itu.

No comments:
Post a Comment