16 January 2011

DBKU nafi bertindak kasar

Peniaga terbabit telah diarah menghentikan operasi kerana mereka berniaga tanpa lesen, kata Lantak


KUCHING: Tuduhan terhadap pengawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai samseng yang dilemparkan oleh sebuah keluarga peniaga yang disiarkan akhbar kelmarin adalah tidak benar, tegas Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Lantak Amin.
Beliau berkata demikian ketika menafikan dakwaan keluarga peniaga terbabit selepas gerai tanpa lesen yang dibina oleh peniaga itu di tepi jalan di bulatan Jalan Bako diroboh dan disita oleh pihaknya.
Lantak memberitahu bahawa pihaknya sebelum ini telah memberi arahan kepada peniaga terbabit untuk menghentikan operasi perniagaan mereka di tepi jalan itu memandangkan mereka berniaga tanpa lesen.
“Kami telah mengadakan sesi dialog, amaran lisan dan amaran bertulis bagi tujuan tersebut tetapi arahan DBKU itu tidak diambil endah oleh mereka (peniaga).

“Jadi kami terpaksa mengambil tindakan dengan merampas dan menyita barangan mereka dan kami tidak pernah menggunakan kekerasan ke atas mereka seperti menghulurkan parang yang didakwa oleh peniaga tetapi parang terbabit hanya digunakan untuk memotong tali-tali yang diikat bagi mendirikan gerai tersebut.
“Kami juga tidak ada merampas wang tunai yang didakwa oleh mereka seperti mana disiarkan dalam akhbar semalam (Jumaat),” kata Lantak.
Tambahnya, semasa membuat rampasan itu, pihaknya mengikut prosedur yang telah digariskan bagi memastikan keselamatan peniaga dan orang awam tidak terjejas.
Jelasnya, pihak DBKU dengan kerjasama FAMA telah menyediakan tapak iaitu di Pasar Tani Demak Laut (92 tapak) bagi peniaga tersebut berpindah dan beroperasi di sana, namun peniaga berkenaan enggan berbuat demikian.
“Sejak tahun lepas lagi kami telah memulakan operasi untuk memindahkan peniaga jalanan ini untuk berpindah ke tempat yang disediakan dan hanya mereka ini saja yang berdegil dan tidak mahu berpindah walapun beberapa kali diberi tempoh,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa setiap operasi yang dijalankan oleh pihak DBKU, ia akan dirakam dan digambar.
Katanya, ia bertujuan sebagai bukti jika berlaku perkara seperti yang didakwa oleh peniaga terbabit.
Selain itu, Lantak turut menyatakan bahawa pihaknya mahu mengekalkan kawasan itu sebagai kawasan hijau.
“Kami tidak mahu kawasan itu menjadi kotor dan tidak selamat bagi pengguna jalan raya.
“Kami juga tidak menghalang untuk mereka ini (penjaja jalanan) mencari rezeki tetapi mesti di tempat yang betul dan telah disediakan,” ujarnya.
Lantak turut menerangkan bahawa sesiapa yang berminat untuk berniaga di tapak yang disediakan oleh DBKU, orang ramai boleh menghubungi DBKU di talian 082-446688.
Sebelum ini, peniaga terbabit yang juga merupakan pemilik gerai itu, Lium Unpeng, 47, membuat laporan polis pada 13 Januari dengan mendakwa bahawa DBKU bertindak menyerang mereka dengan belantan, merompak wang tunai, merosakkan gerai tanpa lesen dan merampas harta mereka pada hari yang sama sekitar jam 9.30 pagi.
Lium dikatakan telah beroperasi lebih setahun di situ bersama ayahnya, Unpeng Gona, adik beradiknya Lee, Mohd Saifulrudin Abdullah dan Balan serta 10 pekerja wanita.

sumber: borneo post

No comments:

Post a Comment

Followers