16 December 2010

Projek jalan Long Luping-Ba’ Kelalan hadiah Hari Krismas penduduk

photo credit to borneo post
BA’ KELALAN: Sambutan Hari Krismas bagi penduduk tanah tinggi Ba’ Kelalan tahun ini lebih bermakna      apabila projek menaik taraf jalan sejauh 75 kilometer yang menghubungkan Long Luping – Ba’ Kelalan dijangka siap sebelum perayaan.Sejak berpuluh tahun (sebelum merdeka), penduduk di situ terpaksa melalui pancaroba untuk sampai ke Ba’ Kelalan kerana jalan balak selalu rosak, namun tahun ini adalah saat yang paling bersejarah kerana  inilah kali pertama mereka pulang ke kampung menggunakan jalan berturap.
Bahkan, penduduk kampung boleh menggunakan kereta jenis Kancil dari Lawas untuk balik ke Ba’ Kelalan.
Projek menaik taraf jalan itu melibatkan kos sebanyak RM60 juta, iaitu lebih rendah kerana ia dilaksanakan oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di bawah Projek Program Jiwa Murni.
Program di Ba’ Kelalan itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pembinaan empat Jambatan Bailey bagi menggantikan jambatan balak bagi fasa I manakala fasa kedua melibatkan kerja meningkat taraf jalan yang bermula sebaik sahaja pembinaan jambatan selesai.
Sebanyak 40 anggota RAJD terlibat dalam program Jiwa Murni itu dan bagi melaksanakan misi itu, anggota terlibat berkampung di Ba’ Kelalan dengan rutin setiap hari menuju ke tapak projek untuk membina jambatan.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata, projek berkenaan dijadualkan siap pada Januari tahun depan, namun pihaknya optimis ia dapat disiapkan lebih awal.
“Berdasarkan tinjauan, saya berpuas hati dengan kelancaran projek menaiktaraf jalan ke Ba Kelalan. Saya yakin projek ini siap dalam tempoh beberapa hari dan dapat digunakan sebelum sambutan Hari Krismas,” katanya.
Shahlan berkata demikian kepada Utusan Borneo selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek di Ba’ Kelalan Ahad lalu.
Turut serta Komander Briged Infantri Kesembilan Brigadier Jeneral Stephen Mundaw, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Datuk Shukri Mohd Salleh, Pegawai Khas kepada Kementerian Pendidikan iaitu Datuk Ahmad Zali Ansore Mohd Yusoff dan Samsuri Jamil dan Timbalan Setiausaha Persekutuan ke Sarawak, Mohd Zahari Razali.
Rombongan terbang dari Miri ke projek kem Lapukan yang terletak di antara Long Luping dan Ba Kelalan.
Shahlan kemudian menyerahkan lebih RM3,000 sumbangan Tabung Rahah Perdana Menteri sebagai penghargaan terhadap usaha dan pengorbanan askar yang bertungkus lumus siang malam untuk menyiapkan projek itu.
Sepanjang lawatan tiga hari, Shahlan serta rombongan turut melawat pembinaan jambatan yang masih dalam pembinaan sebelum meneruskan lawatan ke Telaga Air Panas, Lusong Laku, Long Singu dan pasar Belaga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belaga, penempatan semula Sungai Asap dan Empangan Hidro Bakun.

sumber: borneo post

No comments:

Post a Comment

Followers