Belanjawan 2012 kurang beri perhatian terhadap keperluan pekerja swasta
KUCHING: Pembentangan  Belanjawan 2012 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat  kurang memberi perhatian terhadap keperluan pekerja dalam sektor  swasta.
Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)  Sarawak Andrew Lo ketika dihubungi semalam meluahkan rasa kecewa  terhadap inti pati Belanjawan 2012 kerana tidak memenuhi harapan MTUC.
“Saya agak kecewa dengan Belanjawan 2012 kerana tidak memberi perhatian kepada kos hidup sektor swasta seperti yang diharapkan.
“Ini  adalah satu daripada aspek yang cuba diperjuangkan oleh MTUC untuk  Belanjawan 2012, namun ia tidak seperti yang kami jangkakan.
“Bagaimanapun  saya menyambut baik pemberian bonus dan lain-lain faedah yang diberikan  kepada kakitangan awam serta golongan pesara,” katanya.
Andrew turut menyambut baik langkah melanjutkan usia persaraan kakitangan awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.
Selain  itu MTUC turut berpuas hati dengan pemberian subsidi sebanyak RM500  kepada setiap isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 serta  lain-lain faedah yang akan diterima daripada Bajet 2011.
Andrew  ketika dihubungi turut menyokong saranan Perdana Menteri agar caruman  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh majikan dinaikkan daripada 12  peratus kepada 13 peratus.
“Ini adalah satu perkara yang baik dan  MTUC menyokong penuh kenaikan caruman KWSP oleh majikan untuk daripada  12 peratus kepada 13 peratus,” katanya.
Susulan itu, beliau  mengingatkan kakitangan awam termasuk swasta supaya meningkatkan tahap  kecekapan masingmasing dalam menjalankan tugas untuk kemajuan negara.
Source: BorneoPost 
No comments:
Post a Comment