BANGKOK - Seorang lelaki, Ichiro Ogushi yang didakwa memalsukan sijil kematian dirinya sendiri untuk mendapatkan bayaran wang insurans bernilai berjuta-juta ringgit telah ditangkap di Thailand atas dakwaan melanggar undang-undang imigresen selain mungkin berdepan tuduhan-tuduhan lain.
Menurut seorang pegawai polis, Mejar Jeneral Pongdech Chaiyaprawat, dia ditahan di rumah teman wanitanya Khamis lalu. Sebelum ini dia berada dalam buruan polis selepas pihak imigresen mendapati sijil kematian yang diberikan kepada Kedutaan Jepun adalah palsu.
Menurut laporan polis, setelah syarikatnya di Jepun mengalami masalah kewangan, Ogushi dan seorang rakan sekerjanya mengambil keputusan untuk memalsukan kematiannya bagi memperoleh pampasan insurans sebanyak AS$5.8 juta (RM18.31 juta) Sebelum tiba di Thailand pada November lalu, dia telah menebus tiga polisi insurans selain satu insurans nyawa yang dicarumnya sejak remaja.
Polis menyatakan, Ogushi mengakui telah meminta rakannya yang merupakan seorang pemandu pelancong, Pattapong Sukanthi untuk membantunya memalsukan sijil kematian. Dia kemudian merancang supaya seorang lagi rakannya, Sumika Tomiyasu yang bekerja di sebuah syarikat pelancongan di Jepun menghantar sijil kematian dan abu mayat yang diambilnya dari sebuah tanah perkuburan ke pejabat Kedutaan Jepun di Bangkok.
Polis Thai turut mengeluarkan waran tangkap ke atas Tomiyasu yang kini sudah kembali ke Jepun.
Penipuan itu terbongkar apabila Kedutaan Jepun menghubungi Polis Imigresen Thailand bagi tujuan pengesahan. Namun, rekod menunjukkan bahawa Ogushi telah beberapa kali melancong sekitar Thailand dan ke negara-negara jiran.
Para penyiasat Thailand kemudian pergi ke kawasan yang terkenal dengan aktiviti hiburan dan pelacuran di Bangkok yang sering dikunjungi oleh pelancong dan ekspatriat Jepun untuk mencari Oguchi.
Mereka akhirnya berjaya mendapatkan alamat rumah seorang kekasih Ogushi.
Apabila Ogushi didapati masih 'hidup' di rumah kekasihnya, dia serta-merta didakwa atas tuduhan tinggal melebihi tempoh visa.
Polis kini sedang mengumpul lebih banyak bukti daripada pihak berkuasa Jepun untuk dakwaan lain termasuk menipu. - AP
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment