KUCHING: Seorang bapa kepada dua orang anak dipercayai membunuh diri apabila ditemui tergantung pada sebuah jambatan berhampiran rumahnya semalam.
Mayat mangsa yang berusia 23 tahun tersebut, ditemui oleh penduduk kampung sekitar 7.30 pagi tergantung dengan tali yang terikat pada rel jambatan tersebut yang terletak di Samariang Pinggir.
Pihak polis tiba di tempat kejadian untuk menyiasat dan kemudiannya menghantar mayat tersebut ke rumah mayat untuk dibedah siasat.
Dikatakan si mati mengalami tekanan perasaan selepas terlibat dalam pertengkaran dengan isterinya bersabit isu rumah tangga mereka pada malam sebelum kejadian.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Dalam sebuah kes berasingan, seorang ibu mengamuk apabila gaji anak perempuannya dipotong oleh majikannya yang akhirnya menyebabkan kerugian berjumlah RM1,500 dari segi nilai kerosakan di sebuah kedai menjual pakaian kanak-kanak, Isnin lepas.
Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 7 malam apabila wanita tersebut tiba di kedai baju tersebut yang terletak di Jalan Datuk Abang Abdul Rahim di mana anaknya yang berusia 15 tahun bekerja secara sambilan.
Berbekalkan gunting, wanita tersebut mengamuk dan mula menggunting hampir 30 pakaian kanak-kanak di hadapan pekerja-pekerja lain yang dalam keadaan terkejut sebelum meninggalkan kedai tersebut.
Pemilik kedai tersebut yang berusia 30-an kemudiannya membuat laporan polis dan memberitahu pihak polis bahawa ibu pekerjanya itu marah disebabkan gaji anaknya dipotong.
Sumber: BorneoPost Online
No comments:
Post a Comment