24 July 2010

Tsunami anak luar nikah

KUCHING: Berdasarkan kajian, seorang bayi luar nikah dilahirkan setiap 17 minit di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Menurutnya, negara sekarang dilanda satu bentuk tsunami apabila didapati terdapat kira-kira 250,000 anak luar nikah yang tidak didaftarkan setiap tahun.

“Kita mendapati terdapat kirakira 250,000 anak luar nikah yang tidak didaftarkan dan jika kita pecahkan kepada bulan angkanya adalah 80,000 atau bersamaan dengan seorang bayi untuk setiap 17 minit.

“Angka ini kalau kita amati adalah sangat menakutkan dan jumlah ini adalah yang kita dapat kenal pasti dan tidak termasuk kes yang tidak kita ketahui,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sesi Bersama Pemimpin: Perpaduan 1Malaysia di sini, semalam.

Menurutnya, gejala negatif tersebut serta kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa adalah disebabkan faktor tidak mampu mengawal nafsu terutamanya di kalangan remaja.

Sehubungan itu menurutnya, hubungan seks dilakukan secara berleluasa yang akhirnya menjurus kepada kelahiran anak luar nikah.

“Hubungan seks kini bukan sekadar berlaku di peringkat pelajar sekolah menengah tetapi apa yang memeranjatkan adalah ia turut berlaku di kalangan murid sekolah rendah.

“Namun yang paling menyedihkan adalah sesetengahnya sempat merakam perbuatan tidak senonoh tersebut dan diedarkan kepada rakanrakan,” katanya.

Menurutnya lagi, antara faktor yang menyebabkan remaja semakin cenderung untuk melakukan aktiviti seksual adalah disebabkan pengaruh internet.

Menurutnya, berbeza dengan zaman dahulu, ibu bapa boleh menghela nafas lega jika anak-anak berada di dalam bilik.

Namun apa yang berlaku pada zaman sekarang adalah hanya jasad anakanak berada di dalam bilik tetapi minda mereka meneroka dunia global melalui internet yang penuh dengan gejala-gejala negatif seperti video lucah tambahnya.

Oleh itu, untuk membendung gejala ini, beliau menggesa agar ibu bapa menanam satu perasaan malu di dalam diri anak masing-masing.

“Kalau dahulu orang Melayu kita kalau mandi pun berkemban kerana perasaan malu yang tinggi dan kita berharap perasaan malu ini dapat ditanam di dalam anak-anak untuk mengelak berlakunya maksiat yang berleluasa,” katanya.

Dalam ucapan yang sama beliau turut menyentuh mengenai perpaduan di mana beliau menasihatkan agar perpaduan dimulakan secara kecil iaitu bermula daripada institusi rumah tangga.

Menurutnya juga, amalan berkongsi adalah asas kepada terciptanya toleransi yang menjurus kepada perpaduan.

Hadir sama semalam adalah Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah, Mufti Sarawak Ustaz Kipli Yassin dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sarawak Nawi Abu Bakar.

Sumber : BorneoPost Online

No comments:

Post a Comment

Followers