15 October 2010

Penduduk di Bakong diminta terus bersama BN

MARUDI: Masyarakat di Bakong Hilir diseru supaya sentiasa menyokong dan tetap bersama Barisan Nasional (BN) dengan menolak mana-mana parti pembangkang yang hanya muncul untuk membuat ‘kacau’ dengan kata wakil rakyatnya, Sylvester Entri.

Beliau yang juga Menteri Muda Bekalan Air merangkap Menteri Muda Kemajuan Tanah berkata penduduk di kawasan luar bandar perlu menolak dakyah dan fitnah terhadap kerajaan yang disebarkan pembangkang lebih-lebih menjelang pilihan raya negeri yang semakin hampir.

“Kehadiran parti-parti pembangkang di rumah-rumah panjang dan kampung-kampung di sini hanya sekadar untuk memancing undi semata-mata dan kononnya mahu menubuhkan kerajaan baru mereka semata-mata,” katanya.

Berucap di majlis penangguhan perhimpunan sivik anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, bahagian Marudi yang diadakan di Rumah Giling Manggai di Sungai Buluh A di Bakong Hillir pagi semalam, Entri meminta penduduk di Bakong tetap ber-sama beliau dan BN bagi memastikan pembangunan yang berterusan di kawasan tersebut.

Beliau juga menyeru masyarakat di Bakong supaya mendekatkan diri atau merapatkan pergaulan dengan kerajaan BN supaya mereka sentiasa mendapatkan perkembangan terkini mengenai polisi dan projek-projek pembangunan kerajaan untuk rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

“Melalui hubungan baik ini juga penduduk tidak takut bertemu dengan pemimpin kerajaan untuk menyuarakan masalah, sekali gus memudahkan pembangunan dilaksanakan untuk rumah panjang atau kampung-kampung ber-kenaan.

“Jangan takut berjumpa dengan saya sekiranya ada masalah yang perlu dibincangkan atau diketahui oleh saya.

Hanya dengan itu maka saya akan tahu perkara yang berlaku sekali gus memudahkan saya untuk mencari cara membawa masuk pembangunan. Kerana hanya melalui pembangunan dan kemajuan maka taraf hidup kita dapat diperbaiki,” ujar Entri lagi.

Menurut beliau isu-isu yang dibawa oleh pembangkang tidak dapat membawa pembangunan tetapi hanya memecah-belahkan penduduk di rumah panjang.

Dalam pada itu Entri turut mengumumkan geran Projek Kecil Pembangunan Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 bagi membina parit besar dan projek tikar untuk 15 pintu Rumah Giling.

Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Daerah Baram, Joseph Belayong, Pegawai Penerangan Marudi, Joseph James dan wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan.

Sumber : BorneoPost Online

No comments:

Post a Comment

Followers