KOTA BAHARU, 23 Mac (Bernama) -- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta rakyat menilai sendiri tanpa perlu dipengaruhi mana-mana pihak, integriti pemimpin pembangkang yang dikaitkan isu moral.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu berkata, rakyat akhirnya boleh menghukum pemimpin itu jika terbukti memang benar telah melakukan kesalahan moral.
"Sebagai rakyat, tentunya mereka mahu pemimpin yang mempunyai integriti yang tinggi untuk menjadi pemimpin dalam sesebuah negara.
"Kita mahu rakyat sendiri yang menilai buruk baiknya seseorang pemimpin yang mereka pilih," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena meraikan perpisahan Pegawai Pemerintah Batalion Pertama Rejimen Sempadan, Lt Kol Hamdan Othman ke Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur di sini, Selasa malam.