SHAH ALAM: Presiden Parti Keadilan
Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam membayangkan
kemungkinan akan bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada Pilihan
Raya Umum ke-13 ini.
“Saya memang layak untuk bertanding
di DUN, tapi perkara ini masih dalam perbincangan tidak formal,” katanya kepada
pemberita, di sini.
Dr Wan Azizah yang ditemui selepas
penyampaian sumbangan kepada balu dan keluarga wira negara yang terkorban di
Lahad Datu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan bertanding di DUN pada
pilihan raya umum kali ini.
Beliau yang dikaitkan dengan DUN
Sementa dan satu kerusi DUN di Shah Alam juga hanya tersenyum ketika ditanya
mengenai perkara itu.
Pada Pilihan Raya uUmum 2008, Dr Wan
Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti
13,388 undi, mengatasi calon Barisan Nasional Datuk Pirdaus Ismail.
Beliau bagaimanapun meletak jawatan
pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim
bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.
Sementara itu pada sidang media
berasingan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan
beliau menangguhkan pembubaran DUN Selangor Februari lepas kerana ditentang
beberapa anggota exco dan pemimpin parti.
Sebaliknya kata beliau perkara itu
merupakan strategi parti.
“Kita ada strategi A, B atau C,
seperti juga yang berlaku di DUN Negeri Sembilan yang dibiarkan terbubar dengan
sendirinya, ia sangat mengelirukan,” katanya selepas merasmikan Sistem Aplikasi
Pejabat Tanah dan Galian Selangor.
Abdul Khalid pada Selasa lepas
mengumumkan DUN Selangor akan dibubarkan pada 22 April depan.
Beliau sebelum
ini pernah mengumumkan untuk membubarkan DUN Selangor selepas sambutan Cap Goh
Mei pada Februari lepas. — Bernama
Sumber : BoneoPost Online
No comments:
Post a Comment