LIMBANG: Hasrat pasangan lesbian
untuk menamatkan ‘percintaan’ dengan terjun bersama tidak kesampaian apabila
seorang maut dan pasangannya parah dalam kejadian di bangunan parkir Limbang
Plaza di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah
hari itu, Erica, 16, yang maut akibat kecederaan serius di badan, tertiarap di
dalam longkang selepas nekad terjun bersama pasangannya, Suzi, 20, dari tingkat
tujuh bangunan parkir tersebut.
Suzi yang parah selepas ditemui
terbaring di atas jalan di tepi bangunan itu, kini dirawat di Hospital Limbang.
Menurut sumber, pasangan tersebut
dipercayai merancang untuk menamatkan ‘percintaan’ mereka dengan terjun dari
bangunan itu sambil memakai pakaian sedondon biru.
“Malangnya, impian untuk mati
bersama tidak kesampaian selepas seorang daripada mereka maut dan seorang lagi
masih hidup tetapi mengalami kecederaan parah,” kata sumber itu.
Sementara itu, saksi yang ditemui
Utusan Borneo semalam memberitahu, pasangan itu dilihat berada di tingkat tujuh
bangunan terbabit sekitar jam 11.10 pagi.
“Sebelum kejadian, saya bersama dua
rakan saya melepak di tingkat tujuh bangunan itu sementara menunggu rakan lain
sekitar jam 11 pagi.
“Ketika menunggu rakan, pasangan itu
muncul dan duduk bersama di tangga bangunan tersebut sambil merokok.
“Pasangan itu hanya berdiam diri
dengan muka bermasalah.
“Kami tidak mengenali pasangan itu
dan tidak mengesyaki apa-apa sebelum beredar dari bangunan terbabit,” kata
saksi itu.
Saksi tersebut menambah, sejurus
berada di aras bawah, mereka dikejutkan dengan jeritan orang ramai yang
memberitahu terdapat pasangan terjun dari bangunan itu.
Seorang saksi lain pula memberitahu,
pasangan tersebut ada dilihat berjalan bersama pagi semalam di pasar Limbang.
“Saya tidak menyangka pasangan yang
saya lihat berjalan bersama di pasar awal pagi tadi (semalam) adalah pasangan
yang terjun bangunan itu,” kata saksi tersebut.
Sementara itu, aksi pasangan
tersebut yang terjun dari bangunan itu turut menggemparkan orang ramai yang
berada di kedai-kedai berhampiran.
Kata mereka, Suzi yang terbaring di atas jalan kelihatan meraung kesakitan ketika operasi menyelamat dilakukan pihak polis dan hospital, manakala Erica kaku dalam longkang berhampiran.
Utusan Borneo difahamkan Erica
meninggal dunia semasa mendapat rawatan kecemasan di Hospital Limbang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah
Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi semalam mengesahkan
kejadian itu.
Menurut Mohd Bukhori, siasatan awal
polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut dan cubaan membunuh
diri.
Justeru, beliau merayu kepada orang
ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil memberi maklumat dengan menghubungi
Balai Polis Limbang menerusi talian 085-211717.
Sumber : BorneoPost Online
No comments:
Post a Comment