29 March 2013

Serban gergasi

Photo credit to Kosmo



AMRITSAR - Seorang anggota tentera Nihang Sikh memakai serban gergasi di Kuil Emas di sini semalam.
Panjang kain serban itu lebih 325 meter.

Dia memakai serban itu sempena sambutan Hola Mohalla yang berlangsung selama tiga hari.Festival itu diadakan bagi menunjukkan kekuatan tentera Sikh. - AFP



Sumber : Kosmo Online

Bantuan yang disalurkan BN membuat pembangkang resah

KUALA SELANGOR - Bantuan yang diberikan kerajaan Persekutuan dan kerajaan pakatan pembangkang menggunakan pendekatan yang berbeza dan diibaratkan seperti ‘penyu dan ayam’ bertelur, kata Timbalan 
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan telah memberikan pelbagai bantuan termasuk subsidi kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang malah disampaikan secara terus tanpa perlu mengadakan sebarang majlis yang diibaratkan sebagai ‘penyu dalam diam bertelur banyak’.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, ia berbeza dengan sikap kerajaan pakatan pembangkang yang menghulurkan bantuan tetapi pada masa sama menghebahkan serta mengaku kepada rakyat kononnya mereka prihatin sedangkan bantuan yang diberikan ibarat ‘ayam telur sebiji riuh sekampung’.

“Budaya kita (kerajaan Persekutuan) selama ini beri macam-macam bantuan ibarat penyu duduk diam-diam tetapi bertelur banyak. Bukan seperti mereka (pembangkang) bagi sedikit riuhnya bukan main lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan baucar Karisma@Hati Rakyat kepada kira-kira 900 penerima di sini petang ini.

Justeru, Noh berkata, apabila kerajaan Persekutuan kini mengambil pendekatan memberi sumbangan kepada rakyat secara terbuka dan jelas, maka pembangkang sudah mula gelisah serta mula melemparkan banyak tuduhan kepada kerajaan persekutuan. - Bernama

Sumber: Kosmo online

Wan Azizah mungkin akan bertanding di DUN pada Pilihan Raya Umum ke-13


SHAH ALAM: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam membayangkan kemungkinan akan bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

“Saya memang layak untuk bertanding di DUN, tapi perkara ini masih dalam perbincangan tidak formal,” katanya kepada pemberita, di sini.

Dr Wan Azizah yang ditemui selepas penyampaian sumbangan kepada balu dan keluarga wira negara yang terkorban di Lahad Datu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan bertanding di DUN pada pilihan raya umum kali ini.

Beliau yang dikaitkan dengan DUN Sementa dan satu kerusi DUN di Shah Alam juga hanya tersenyum ketika ditanya mengenai perkara itu.

Pada Pilihan Raya uUmum 2008, Dr Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti 13,388 undi, mengatasi calon Barisan Nasional Datuk Pirdaus Ismail.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada pilihan raya kecil kawasan itu.

Sementara itu pada sidang media berasingan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan beliau menangguhkan pembubaran DUN Selangor Februari lepas kerana ditentang beberapa anggota exco dan pemimpin parti.

Sebaliknya kata beliau perkara itu merupakan strategi parti.

“Kita ada strategi A, B atau C, seperti juga yang berlaku di DUN Negeri Sembilan yang dibiarkan terbubar dengan sendirinya, ia sangat mengelirukan,” katanya selepas merasmikan Sistem Aplikasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Abdul Khalid pada Selasa lepas mengumumkan DUN Selangor akan dibubarkan pada 22 April depan. 

Beliau sebelum ini pernah mengumumkan untuk membubarkan DUN Selangor selepas sambutan Cap Goh Mei pada Februari lepas. — Bernama

28 March 2013

Pasangan lesbian akhiri 'cinta' dengan terjun bangunan


LIMBANG: Hasrat pasangan lesbian untuk menamatkan ‘percintaan’ dengan terjun bersama tidak kesampaian apabila seorang maut dan pasangannya parah dalam kejadian di bangunan parkir Limbang Plaza di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, Erica, 16, yang maut akibat kecederaan serius di badan, tertiarap di dalam longkang selepas nekad terjun bersama pasangannya, Suzi, 20, dari tingkat tujuh bangunan parkir tersebut.

Suzi yang parah selepas ditemui terbaring di atas jalan di tepi bangunan itu, kini dirawat di Hospital Limbang.
Menurut sumber, pasangan tersebut dipercayai merancang untuk menamatkan ‘percintaan’ mereka dengan terjun dari bangunan itu sambil memakai pakaian sedondon biru.

“Malangnya, impian untuk mati bersama tidak kesampaian selepas seorang daripada mereka maut dan seorang lagi masih hidup tetapi mengalami kecederaan parah,” kata sumber itu.

Sementara itu, saksi yang ditemui Utusan Borneo semalam memberitahu, pasangan itu dilihat berada di tingkat tujuh bangunan terbabit sekitar jam 11.10 pagi.

“Sebelum kejadian, saya bersama dua rakan saya melepak di tingkat tujuh bangunan itu sementara menunggu rakan lain sekitar jam 11 pagi.

“Ketika menunggu rakan, pasangan itu muncul dan duduk bersama di tangga bangunan tersebut sambil merokok.

“Pasangan itu hanya berdiam diri dengan muka bermasalah.

“Kami tidak mengenali pasangan itu dan tidak mengesyaki apa-apa sebelum beredar dari bangunan terbabit,” kata saksi itu.

Saksi tersebut menambah, sejurus berada di aras bawah, mereka dikejutkan dengan jeritan orang ramai yang memberitahu terdapat pasangan terjun dari bangunan itu.

Seorang saksi lain pula memberitahu, pasangan tersebut ada dilihat berjalan bersama pagi semalam di pasar Limbang.

“Saya tidak menyangka pasangan yang saya lihat berjalan bersama di pasar awal pagi tadi (semalam) adalah pasangan yang terjun bangunan itu,” kata saksi tersebut.

Sementara itu, aksi pasangan tersebut yang terjun dari bangunan itu turut menggemparkan orang ramai yang berada di kedai-kedai berhampiran.

Kata mereka, Suzi yang terbaring di atas jalan kelihatan meraung kesakitan ketika operasi menyelamat dilakukan pihak polis dan hospital, manakala Erica kaku dalam longkang berhampiran.

Utusan Borneo difahamkan Erica meninggal dunia semasa mendapat rawatan kecemasan di Hospital Limbang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian itu.

Menurut Mohd Bukhori, siasatan awal polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut dan cubaan membunuh diri.

Justeru, beliau merayu kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil memberi maklumat dengan menghubungi Balai Polis Limbang menerusi talian 085-211717.

Followers