Showing posts with label Pembuangan Bayi. Show all posts
Showing posts with label Pembuangan Bayi. Show all posts

02 October 2010

Janin bayi lelaki dalam tong sampah

GEORGE TOWN: Janin bayi lelaki yang dipercayai digu­gurkan ditemui dalam tong sampah di Pasar Borong Pulau Mutiara, Jalan Makloom, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kok Meng berkata janin itu ditemui seorang lelaki pemungut tin kosong ketika melalui ka­wasan itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Janin itu dianggar baru berusia lima bulan berdasar­kan keadaannya yang hampir cukup sifat dan ketika ditemui ia dihurungi lalat.

“Kami percaya janin itu baru sahaja dibuang ber­dasarkan masih terdapat tali pusat dan urinya,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau berkata berdasar­kan siasatan awal dan kesan kecederaan teruk di kepala janin itu, polis percaya ia dicampak dari tingkat atas sebuah pangsapuri di sini.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Bernama

Sumber : BorneoPost Online

19 August 2010

Ditahan selepas buang bayi

 MELAKA - Tembelang sepasang kekasih yang membuang bayi lelaki berusia lima bulan ke dalam tong sampah Hospital Melaka di sini terbongkar apabila kedua-dua mereka ditahan ketika ibu bayi itu mendapatkan rawatan di hospital tersebut kelmarin.

Kejadian pukul 4 petang itu terbongkar apabila kakitangan hospital berasa curiga melihat keadaan wanita tersebut seperti baru bersalin walaupun pada mulanya dia menafikannya.

Selepas didesak, wanita tersebut akhirnya mengaku yang dia baru sahaja melahirkan anak di dalam tandas hospital sebelum membuangnya di dalam tong sampah.

Bagaimanapun, pencuci bangunan kemudian secara tidak sengaja telah memindahkan sampah yang mengandungi bayi tersebut ke dalam tong sampah besar.

Sehubungan itu, polis terpaksa mengambil masa selama dua hari untuk mencari mayat bayi tersebut dengan menyelongkar lebih 20 buah tong sampah sebelum ia ditemui pukul 1.50 petang semalam di pusat pengumpulan sampah hospital.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan mendapati pasangan tersebut berusia dalam lingkungan 20-an dan merupakan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

"Sebaik menerima maklumat, kita telah melancarkan operasi mencari mayat bayi tersebut. Polis bernasib baik kerana menemuinya semula," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka semalam.


Sumber : Kosmo

13 August 2010

Buang bayi boleh dihukum mati

KUALA LUMPUR – Polis diarah menjalankan siasatan terhadap kes buang bayi sebagai percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat boleh ditakrifkan sebagai kes bunuh yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, arahan terbaru itu diputuskan selepas isu mengenai kes buang bayi dibangkitkan oleh kementeriannya pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes tersebut kerana kejadian pembuangan bayi masih berleluasa walaupun pihak berkuasa telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menangani masalah itu.

“Sehubungan itu, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diminta untuk menyiasat kes-kes ini sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat, sebagai kes bunuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bagi kesalahan membunuh dengan niat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sesiapa yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori manakala di bawah Seksyen 307 kanun sama iaitu cubaan membunuh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Sumber : Kosmo

21 July 2010

Bayi lelaki dijumpai masih selamat di belakang rumah kedai

KUCHING: Seorang bayi lelaki yang baru berusia dua hari dijumpai di belakang rumah kedai di Taman Beverly, Batu 13, Jalan Kuching-Serian di sini, semalam.

Bayi tersebut yang masih hidup dijumpai oleh seorang wanita warga emas pada jam 11.30 pagi.

Wanita berusia 60 tahun itu menghampiri tempat bayi tersebut dibuang apabila ternampak bebe-rapa ekor anjing mengerumuni satu bungkusan kain putih.

Apabila mengesyaki sesuatu, dia menghubungi polis. Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati bungkusan tersebut mengandungi bayi yang masih bernyawa.

Polis kemudian membawa bayi tersebut ke Balai Polis Siburan.

Bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Ketua Polis Kuching ACP Mun Kock Keong mengesahkan laporan dibuat di Balai Polis Siburan.

Sumber : BorneoPost Online

Followers