Showing posts with label Lagi-lagi UFO. Show all posts
Showing posts with label Lagi-lagi UFO. Show all posts

18 January 2011

UFO lawat Menara KL?

photo credit to Kosmo

KUALA LUMPUR - Seorang penyelia kanan sebuah projek pembinaan di sini terkejut apabila mendakwa terlihat satu objek pelik yang dirakamnya melalui telefon bimbit melintasi ruang udara Menara Kuala Lumpur Selasa lalu.

Abdul Jalil Ibrahim, 50, berkata, pada kejadian pukul 7.46 pagi Selasa lalu, dia sedang merakam pemandangan awan dari tingkat 51 sebuah bangunan yang sedang dibina di sebelah sebuah hotel di Jalan Ampang di sini menggunakan telefon bimbit milik kawannya.

"Pada mulanya saya tidak menyedari ada objek pelik seakan-akan UFO (Objek Terbang Yang Tidak Dikenali) di dalam rakaman ini tetapi selepas empat hari, rakan setugas saya beritahu ada benda pelik pada gambar yang saya rakam dengan telefon bimbitnya.

"Apabila diteliti, saya terkejut melihat sebuah objek pelik berbentuk piring dan bujur berwarna hitam di ruang udara Menara KL," ceritanya lagi ketika ditemui Kosmo! semalam.

Bagaimanapun Abdul Jalil berkata, dia tidak dapat mengesahkan apa sebenarnya objek berkenaan walaupun jarak tapak binaan dengan Menara KL hanya sejauh satu kilometer.

Sumber : Kosmo

16 October 2010

UFO sebenarnya belon parti guru

NEW YORK - Objek terbang tidak dikenali (UFO) yang menggemparkan penduduk di bandar raya ini pada Rabu lalu dipercayai beberapa belon parti sebuah sekolah di Westchester, lapor sebuah akh bar semalam.

Seorang guru besar Sekolah Milestone di Mount Vernon, Westchester, Angela Freeman berkata, seorang ibu membawa empat dozen belon untuk parti meraikan seorang guru. "Tiba-tiba, 12 daripada belon itu terlepas," katanya.

Ia terlepas ke udara pada kira-kira pukul 1 petang manakala satu objek yang disangka UFO dilihat buat kali pertama di Manhattan pada pukul 1.30 petang.

"Ia munasabah (UFO itu sebenarnya belon). Belon itu bergerak ke West Side (New York)," kata guru besar itu.

Kemunculan objek misteri itu menyebabkan ramai orang menghubungi talian kecemasan 911 pada Rabu lalu.

Seorang ahli meteorologi di Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Brian Ciemnecki berkata, angin mungkin dengan mudahnya menolak belon itu ke Manhattan di New York.

Sebelum dia membuat kenyataan itu, Pengarah Pusat Laporan UFO Kebangsaan, Peter Davenport menyatakan, berdasarkan pendapatnya, objek misteri itu sebenarnya adalah belon. - Agensi

Sumber : Kosmo

15 October 2010

Ramai lihat UFO di New York

NEW YORK - Satu kumpulan objek misteri yang bersinar berlegar di langit Manhattan, New York kelmarin sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa objek terbang tidak dikenali (UFO) terbang di sekitar bandar raya ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Polis dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Amerika Syarikat (AS) dihujani dengan panggilan telefon daripada orang ramai yang melaporkan melihat objek itu.

Beberapa sumber penguat kuasa undang-undang menyatakan, ia dipercayai sebagai belon tetapi sehingga lewat kelmarin, identiti sebenar objek itu tidak diketahui.

Menurut jurucakap FAA, Jim Peters, tidak ada objek ganjil seperti itu dilihat pada radar.

Seorang wartawan akhbar New York Daily News dapat melihat satu titik kecil dan terapung di langit dari jalan Eight Avenue yang turut disaksikan puluhan orang lagi.

Imej misteri itu muncul selepas sebulan satu kenyataan akhbar dikeluarkan yang mengumumkan penerbitan sebuah buku oleh seorang bekas pegawai Pusat Pemerintahan Aeroangkasa Amerika Utara yang meramalkan UFO akan muncul di beberapa buah bandar raya utama dunia pada 13 Oktober lalu. - Agensi

Sumber : Kosmo

Followers