KUCHING: Rakyat harus menolak pihak yang rakus mengejar kuasa politik
dengan menggunakan pendekatan yang boleh menimbulkan prasangka buruk,
fitnah melampau dan pembohongan sehingga menghuru-harakan negara.
Ketua
Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata perbuatan
seperti itu bukan sahaja menggugat perpaduan dalam kalangan rakyat
pelbagai kaum tetapi menjejaskan perkembangan ekonomi negara.
“Kita harus mengekalkan keharmonian dan kesefahaman dalam masyarakat majmuk.
“Ini
adalah tanggungjawab bersama. Perpaduan adalah juga satu bentuk
khazanah yang boleh kita wariskan kepada generasi seterusnya.
“Oleh
itu kita harus menolak mereka yang rakus mengejar kuasa politik dengan
menggunakan pendekatan yang boleh menimbulkan kesan negatif kepada
negara dan rakyat,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah, beliau amat berharap
pada tahun baharu ini (2013) semua rakyat berbilang kaum dan agama dapat
bekerja sama dan bermaruah demi negara tercinta.
Sementara itu
Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah
berkata tahun baharu 2013 sudah tentu akan menyaksikan kerajaan Sarawak
yang diterajui Barisan Nasional (BN) berazam untuk terus membawa
kemajuan dan membangunkan rakyat dan negeri ini.
Menurutnya
kerajaan mahu melihat negara amnya dan Sarawak khususnya terus maju
membangun dengan rakyatnya bersatu dan menghormati antara satu sama
lain.
“Secara peribadi saya berazam untuk dapat terus memberi
khidmat terbaik sebagai wakil rakyat dan menteri muda untuk melihat
negara dan Sarawak terus maju membangun dengan rakyatnya bersatu dan
menghormati antara satu sama lain,” katanya menerusi sistem pesanan
ringkas (SMS) semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya
mengenai azam sempena tahun baharu 2013 tentang perancangan kerajaan
untuk membangun dan memajukan negeri ini pada masa akan datang.
“Berkenaan
dengan belia, kerajaan negeri akan terus membimbing dan merancang
pembangunan terbaik untuk belia memandangkan pentingnya golongan ini
dalam pembangunan masa depan negara,” tambahnya.
Menyentuh
mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13, Karim yang juga Menteri Muda Perumahan
dan ADUN Asajaya berkata, BN pasti meraih kemenangan besar dalam
pilihan raya nanti.
“Insya-Allah BN akan menang besar kerana
rakyat sudah muak dengan telatah pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan janji
manis tinggi hingga ke awan mereka.
“Semakin dekat PRU semakin banyak janji manis. Janji lama pun banyak tidak ditunaikan,” tegasnya.
Justeru,
beliau yakin rakyat sudah dapat menilai sikap sebenar pembangkang yang
hanya mahu mengaburi mata rakyat dengan janji kosong mereka.
“Sekarang rakyat sedar dan tahu membezakan yang mana intan yang mana kaca di antara BN dan PR,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment