06 January 2012

Rakyat S’wak diseru tidak terlibat kempen Bebaskan Anwar 901

KUCHING: Rakyat Sarawak diseru supaya tidak melibatkan diri dengan kempen Bebaskan Anwar 901, yang dianggap sebagai permainan politik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, rakyat Sarawak perlu mengelakkan diri terbabit dalam permainan Anwar itu yang terdesak untuk menjadi Perdana Menteri.

“Elakkan terlibat dengan keadaan kacau-bilau, yang digemari oleh pembangkang untuk menghasut rakyat untuk membenci kerajaan.

“Ini kerana yang rugi nanti bukannya Anwar Ibrahim tetapi kita serta negara malahan keadaan aman harmoni juga akan tercalar,” katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Dr Rundi yang juga Setia-usaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meneruskan demonstrasi Bebaskan Anwar 901 pada 9 Januari ini di ibu negara.

Dr Rundi menegaskan bahawa negara mempunyai undang-undang untuk melindungi rakyat tanpa mengira sama ada mereka penyokong kerajaan atau tidak.

“Kita harus menghormati undang-undang ini yang telah diluluskan oleh semua wakil rakyat termasuk pembangkang dan mahkamah akan menentukan seseorang itu bersalah atau tidak.

“Bukannya melalui tunjuk perasaan atau membantah secara membuta tuli,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Followers