05 June 2011

PAS menolak kerjasama dengan UMNO dan setia dengan pakatan

KUALA LUMPUR: PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO ke arah perpaduan Melayu tetapi akan terus bersama sekutunya dalam pakatan pembangkang, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata parti itu akan tetap bersama-sama sekutunya DAP-PKR dalam pakatan pembangkang mengikut agenda yang telah ditetapkan dan mengatur strategi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya telah turun ke bawah dan melihat keseluruhan negeri dan saya dapati kerjasama yang baik antara kawan-kawan (dalam) Pakatan Rakyat dan kita terus dengan Pakatan Rakyat,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57, di Taman Melewar di sini semalam.

Katanya walaupun mempunyai pelbagai perbezaan seperti ideologi dan agama, namun kerjasama dengan DAP boleh dilaksanakan kerana berkongsi pendekatan yang sama dalam beberapa perkara kepentingan rakyat seperti mengatasi masalah kemiskinan.

Katanya parti itu tidak akan bergabung atau berpakat dengan UMNO, tetapi tidak menolak mengadakan perbincangan yang menjurus kepada kepentingan rakyat termasuk mengenai sistem pilihan raya sedia ada yang menurutnya perlu diperbaharui supaya lebih demokratik.

“Kita boleh kerjasama dengan UMNO contohnya dalam isu Palestin menentang Israel, menentang keganasan Yahudi di Gaza. Bahkan kita kerjasama dalam isu menghantar kapal bantuan Mavi Marmara, isu antinuklear, isu ekonomi negara…. itu kita bekerjasama,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata PAS belum bersedia meninggalkan aspirasi utamanya untuk menubuhkan negara Islam, sejajar dengan konsep ‘Membangun Negara Berkebajikan’ yang menjadi tema dalam ucapan dasarnya semasa muktamar parti itu kali ini.

Katanya konsep negara kebajikan ada dalam agama Islam dan bukan Islam dan akan mendahulukan konsep tersebut atas persamaan itu.

“Kita mulakan dengan pelaksanaan. Negara berkebajikan dalam Islam ada dalam al-Quran pun ada. Dalam al-Quran tidak sebut Islamic State ia sebut negara berkebajikan,” katanya.

Mengulas mengenai isu penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Abdul Aziz yang mendakwa dibayar sejumlah wang oleh exco kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa untuk bertanding dalam pemilihan parti, Hadi menegaskan PAS menyerahkan siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya parti itu tidak ada kuasa perundangan untuk menyiasat dan mengikut amalan pentadbiran, SPRM yang hendak menyiasat kes itu mesti mendapat kebenaran daripada Menteri Besar.

“Menteri Besar negeri Pakatan Rakyat mesti terbuka untuk SPRM menyiasat semua yang dituduh, yang difitnah kalau terlibat dengan rasuah kerana kita betul-betul hendak bersih kerajaan kita.

“Walaupun exco walaupun menteri besar sekalipun kalau tidak betul, kita pecat. Dalam sejarah PAS pun kita pernah pecat. Kita tidak mahu pelihara orang yang ada penyakit ini,” katanya. — Bernama

Sumber : BorneoPost Online

No comments:

Post a Comment

Followers